Datuk A Kadir Jasin : Johan Banyak Berjasa Mewarnai Dunia Kewartawanan

| dilihat 1547

TOKOH Wartawan Negara adalah anugerah tertinggi bagi seorang jurnalis profesional di Malaysia, dan hanya diberikan kepada jurnalis yang sungguh memilih jalan profesi penuh tantangan itu sebagai 'laluan perjuangan.'

Malaysia Press Institute (MPI) - Petronas memberikan anugerah itu kepada Tan Sri Johan Jaaffar, pada malam Wartawan Malaysia 2019 di Berjaya Times Square, Malaysia (26/4/19).

Sebelum sesi penyerahan anugerah tersebut, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Malaysia - Datuk A. Kadir Jasin menyampaikan pidato ihwal Tan Sri Johan Jaaffar, yang juga dikenal sebagai Wan Chantuk, karena kolomnya yang sohor di Mingguan Malaysia.

Dalam menyampaikan pidatonya malam itu, Datuk A. Kadir Jasin menghadirkan gurauan dan humor khas wartawan veteran dan mengundang gelak. Informasi tentang apa dan siapa Tan Sri Johan Jaaffar dan kiprahnya di dunia kewartawanan yang beliau sampaikan terasa hidup dan mengusik kenangan perjalanan panjang karir kewartawanan penuh warna di Malaysia.

Berikut pidato Datuk Abdul Kadir :

Tan Sri Johan Jaaffar lahir di Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor pada 9 November 1953. Kini beliau dikenal sebagai wartawan veteran tanahair, selain  sebagai  sasterawan, budayawan, ilmuan dan  tokoh korporat.

Beliau  pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  dari tahun  2006 hingga 2010.

Beliau mula menulis sejak di bangku sekolah lagi melalui majalah Dewan Pelajar terbitan DBP dan Utusan Pelajar terbitan syarikat Utusan Melayu.  Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1977, beliau berkhidmat dengan DBP.

Beliau diberikan kepercayaan memimpin antara lain majalah Dewan Siswa, kemudiannya Dewan Budaya, dan pada tahun 1988 menjadi Ketua Pengarang Bahagian Majalah DBP. Beliau bertanggungjawab pada majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan lain-lain.

Di bawah pimpinan beliau, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa dan  Dewan Pelajar mencatatkan rekod baru jumlah edaran. Malah liputan Dewan Masyarakat tentang peristiwa Natrah atau Maria Hertog yang bermula pada bulan Februari dan berahir pada bulan  Mei 1989 telah melonjakkan jualan majalah itu hingga mencecah 100,000 naskhah sebulan. Laporan penyiasatan Natrah yang dikendalikan oleh Fatini Yaakub menjadi buah mulut rakyat Malaysia ketika itu.

Johan juga mengambil inisiatif untuk mengubah imej majalah Dewan Masyarakat daripada majalah terbitan sebuah badan berkanun kerajaan yang pasif menjadi lebih hidup dan bertenaga. Beliau bersama Wan Umar RS dan jurufoto DBP, Mohd Ali Zakaria telah menyeludup masuk ke Wilayah Kunar, Afghanistan pada musim bunga 1989. Mereka melihat sendiri  apa yang berlaku di negara itu sebaik-baik sahaja tentera Soviet Rusia mungundur diri dan meninggalkan boneka mereka Presiden Najibullah di Kabul.

Laporan yang tersiar pada bulan Jun 1989 dengan judul “Afghanistan: Derita Sebuah Bangsa” beserta pelancaran Tabung Pemulihan Afghanistan telah mendapat perhatian luar biasa.

Johan kemudiannya menjadi Ketua Bahagian Penerbitan Umum DBP yang bertanggungawab terhadap buku-buku am terbitan organisasi itu.

Pada tahun 1992, beliau dlantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

Di bawah pimpinan beliau di Utusan Melayu, banyak perubahan telah dibawakannya. Utusan Malaysia dan edisi Ahadnya Mingguan Malaysia mencatat edaran masing-masing melebihi 300,000 naskhah sehari dan 600,000 naskhah seminggu.

Pada era sebelum internet dan kewujudan media sosial, akhbar dalam bentuk tradisional merupakan pilihan utama para pembaca. Perubahan yang dilakukan pada kandungan atau content dan rekabentuk atau design membolehkan akhbar-akhbar itu menarik perhatian pembaca.

Majalah-majalah syarikat itu juga melalui proses perubahan yang membolehkannya merekodkan jualan tertinggi dalam sejarah. Di antara majalah itu ialah Mastika, Mangga, Wanita, Hai dan URTV. Utusan Melayu juga menerbitkan jurnal Pemikir yang tidak panjang hayatnya dan Utusan Karya khusus untuk sastera.

Akhbar terbitan Utusan Melayu memang punya pengaruh yang tersendiri pada masyarakat ketika itu. Bagi Johan salah satu peranan penting yang perlu dimainkan oleh akhbar Melayu ialah memberikan dimensi ilmunya serta memperkukuh ruangan sastera dan seni budaya.

Beliau sedar bahawa akhbar arus perdana merupakan gelanggang politik tetapi itu tidak menghalang usaha untuk memberikan elemen ilmu pada akhbar berkenaan. Banyak kolumnis yang kemudiannya menjadi nama besar dalam pelbagai lapangan diberikan ruang dalam akhbar di bawah pimpinan beliau.

Di tangan beliau akhbar Utusan Malaysia banyak terbabit dalam laporan penyiasatan yang menggemparkan, antaranya membabitkan seorang pemimpin tertinggi UMNO, isu imuniti raja-raja Melayu, dan banyak lagi.

Beliau menyedari keterbatasan daripada segi konsep kebebasan akhbar yang sebenarnya tetapi itu tidak menghalang akhbar di bawah pimpinannya untuk bersuara secara berani dan yakin. Tulisan-tulisan beliau sendiri yang tanpa kompromi banyak memberikan masalah pada akhbar pimpinannya.

Sebagai ketua pengarang, Johan sendiri banyak menulis untuk penerbitannya. Beliau memenuhkan ruangan yang pernah dikenal sebagai “Awang Selamat” dan menggantikannya dengan “Selayang Pandang” dari 8 November 1992 hingga 19 Julai 1998.

Beliau memulakan ruangan “Nota Kaki” dari 20 Jun 1994 hingga 13 Julai 1998. Untuk majalah berita mingguan terbitan syarikat Utusan Melayu, Massa, beliau mempunyai ruangan pojok “Selentik” dari 17 Januari 1998 hingga 11 Julai 1998. Beliau juga menulis ruangan filen dalam “Sembang Filem” majalah dwi-mimgguan Hai dari 4 Ogos 1996 hingga 11 Julai 1998. Beliau juga menyumbang untuk ruangan pojok “Wak Chantuk” di dalam Mingguan Malaysia.

Johan meletakkan jawatan pada 14 Julai 1998 ekoran salah satu peristiwa politik paling mengegarkan dalam sejarah negara. Beliau dianggap “orang kuat” Datuk Seri Anwar Ibrahim di media. Pembersihan berlaku di syarikat Utusan Melayu, juga akhbar Berita Harian dan TV3 sebelum penyingkiran Datuk Seri Anwar pada 2 September 1998.

Selama beberapa tahun Johan tidak ada ruang untuk menulis sehinggalah Tan Sri A. Samad Ismail memberikan kesempatan beliau menulis kolum untuk akhbar New Straits Times mulai 30 November 2002. Beliau menulis kolum itu sehingga 17 Oktober 2015. Beliau menulis setiap minggu selama 13 tahun.

Beliau juga menjadi kolumnis untuk Berita Minggu dari 23 Mac 2003 hingga 11 April 2009. Malah selama menulis untuk Berita Minggu, beliau juga mempunyai kolum dalam New Straits Times, satu-satunya kolumnis yang mempunyai ruangan dalam dua akhbar yang berbeza bahasa.

Beliau kini merupakan kolumnis untuk akhbar The Star, yang bermula sejak 18 April 2016.

Kerajaan menyedari perlunya hubungan yang baik di antara wartawan Malaysia dan Indonesia. Sewaktu kemuncak isu Ambalat dan peristiwa yang membabitkan seorang pembantu rumah Indonesia bernama Nirmala Bonat, hubungan Malaysia dan Indonesia berada pada paras yang membimbangkan. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi telah menghantar Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  dan Johan untuk menemui pimpinan redaksi akhbar dan stesen TV di republik itu.

Ia bertujuan merapatkan semula hubungan di antara editor di antara dua negara yang semacam renggang. Hasil pertemuan itu telah sepakat mewujudkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) yang dipengerusikan sendiri oleh Johan. Sehingga hari ini ISWAMI menjadi platform bagi menjalin hubungan erat di antara karyawan media kedua-dua negara.

Pada tahun 2009, Johan dilantik sebagai Pengerusi Media Prima Berhad, yang juga memiliki New Straits Times Press (NSTP) yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. MPB juga mempunyai kepentingan dalam empat stesen TV, tiga stesen radio, memiliki syarikat iklan luar terbesar di negara ini (Big Tree Sdn Bhd) serta terbabit dalam perniagaan media di talian.

Johan juga dikenal sebagai pengacara atau moderator pelbagai program talkshow di TV, bermula dari “Isu Semasa” dan “Debat Perdana”  di RTM1 pada tahun 2004. Beliau juga menjadi hos Debat Khas Agenda Daily di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek pada tahun 2008.

Beliau juga mengendalikan program bual bicara di TV3 dan paling akhir menjadi pengacara program “Bicara Minda” anjuran Sinar Harian sejak September 2018.

Johan pernah menjadi Panel Pemilih Merdeka Awards (2010 -2012) selain  pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); ahli Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC); Ahli Jawatankuasa MAMPU Search Committee Anugerah Inovasi Perdana Menteri; Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (National Unity Consultative Council (NUCC) dan Ahli Jawatankuasa Konsultasi Pembiayaan Politik (Political Funding).

Beliau juga menjadi salah seorang tokoh korporat yang dilantik dalam program CEO@Faculty oleh Kementerian Pengajian Tinggi.   

Beliau kini Adjunct Professor di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adjunct Professor di Lim Kok Wing University of Creative Technology, Adjunct Professor dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan baru dilantik sebagai Adjunct Professor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Komunikasi dan Pengurusa Kesenian Kreatif) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015.

Dalam bidang kewartawananlah Johan telah banyak memberikan sumbangan. Johan mungkin “orang luar” dari kerangka kewartawanan yang lumrah, tetapi pengalaman beliau di DBP. juga disiplin keilmuan yang menjadi paksi institusi seperti itu banyak membantu mencorakkan akhbar dan majalah yang dipimpinnya di Uusan Melayu. Dimensi ilmu ini mahu tidak mahu diakui oleh banyak pihak sebagai kekuatan baru akhbar yang dipimpinnya.

Johan juga telah memberikan pendekatan baharu pada liputan kegiatan seni dan budaya, seduai dengan pembabitan beliau sendiri dalam bidang itu. Malah minat beliau terhadap filem diterjermahkan dalam banyak diskusi dan wacana mengenai filem dalam majalah yang diterbitkannya.

Di MPB, pengalaman beliau dalam dunia kewartawanan banyak membantu dalam memimpin syarikat itu. Beliau sedar MPB bukan syarikat biasa tetapi digerakkan oleh kreativiti dan inovasi bagi bersaing dengan syarikat lain. Beliau juga banyak menumpahkan pengalaman kewartawanan untuk memastikan semua platform berita baik di stesen TV atau NSTP sentiasa berada di depan dalam dunia pelaporan dan pemberitaan. Beliau bersara dari  MPB pada bulan Ogos 2015 meninggalkan legacy yang tersendiri.

Beliau sebenarnya banyak berjasa dan membantu mencorakkan dunia kewartawanan yang diceburinya sejak lebih 40 tahun yang lalu. |

 

Artikel terkait :  Tan Sri Johan Jaafar Wartawan Negara

Editor : sem haesy
 
Energi & Tambang
Sporta
07 Jul 23, 08:50 WIB | Dilihat : 1185
Rumput Tetangga
Selanjutnya